Peranan Ibu Bapa Dalam Mengawal Pengambilan Makanan Ringan / Makanan Segera

Peranan Ibu Bapa Dalam Mengawal Pengambilan Makanan Ringan / Makanan Segera

Pada saat kita sibuk merencana kehidupan di dunia yang fana ini, secara sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan sains dan teknologi, masalah obesiti atau kegemukan dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat dan membimbangkan banyak pihak. Restoran makanan segera seperti KFC, McDonald’s, Burger King dan Domino’s juga semakin hari semakin banyak diusahakan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Jika kita bertapak kaki di pusat membeli-belah pula, tidak hairan apabila terdapat pelbagai jenis makanan ringan di dalam pelbagai pek yang berwarna-warni yang bertujuan untuk menarik minat dan perhatian khususnya kanak-kanak. Hal ini bertambah buruk lagi apabila terdapat banyak iklan dan promosi jualan yang disiarkan di kaca televisyen atau dipaparkan di dalam akhbar dengan pelbagai jenis permainan yang akan dihadiahkan bersama-sama dengan pembelian makanan ringan atau makanan segera. Namun, hakikatnya kini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak mengamalkan pemakanan yang sihat sehingga menghantui pemikiran para ibu bapa. Berdasarkan Kajian Keutamaan Nutrisi di Malaysia, terdapat peningkatan sebanyak 13.6% kes obesiti dalam kalangan kanak-kanak dalam beberapa tahun ini. Namun, menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, beliau melahirkan kebimbangannya terhadap peningkatan kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan menyeru ibu bapa agar memberi pemantauan dan penjagaan yang lebih terhadap pemakanan anak-anak. Hal ini demikian kerana ibu bapa merupakan ahli keluarga yang terdekat dan bertanggungjawab mengawal pemakanan anak-anak agar dapat melahirkan anak-anak yang sihat. Sesungguhnya benarlah bicara bijak pandai bahawa setiap penyakit ada penawarnya. Maka, marilah kita lapangkan jiwa dan minda untuk memikirkan langkah yang pragmatik yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dalam mengawal pengambilan makanan segera dan makanan ringan dalam kalangan anak-anak.

Umum mengetahui bahawa kaedah yang bertunjangkan kewarasan minda perlulah diambil, iaitu ibu bapa menyediakan makanan seimbang kepada anak-anak mereka. Makanan yang seimbang amat penting untuk menjamin tumbesaran yang baik kepada anak-anak. Anak-anak sepatutnya mematuhi piramid makanan yang merangkumi karbohidrat, protin, sayur-sayuran, buah-buahan dan lemak dan dijadikan sebagai panduan. Ibu bapa pula perlu mengurangkan pembelian makanan segera dan makanan ringan semasa anak-anak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa tidak sepatutnya berlembut hati dan termakan kerenah kanak-kanak yang ingin makan makanan segera dan makanan ringan. Selain itu, mereka hendaklah meluangkan masa untuk memasak di rumah dan menyediakan makanan yang lebih berkhasiat dan menyelerakan kepada kanak-kanak. Mereka tidak sepatutnya menjadikan kerja yang sibuk dan masa yang suntuk sebagai alasan sehingga terpaksa membawa anak-anak keluar mengisi perut di restoran makanan segera. Hal ini demikian kerana makanan di restoran makanan segera tidak mempunyai khasiat yang tinggi sebaliknya mengandungi kalori tinggi sehingga mampu menjejaskan kesihatan anak-anak yang sedang membesar. Menurut Mirror, sebuah surat khabar dari Britain, terdapat berita yang melaporkan seorang lelaki yang berumur 14 tahun telah buta pada sebelah mata kirinya kerana hanya mengambil makanan seperti roti, ayam dan kerepek kentang sejak umurnya 5 tahun. Hal ini disebabkan remaja tersebut tidak mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan sehingga menyebabkannya kekurangan vitamin A dan menjejaskan penglihatannya. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa ibu bapa hendaklah menyediakan makanan yang enak dan seimbang kepada anak-anak dan mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku terhadap remaja lelaki tersebut agar menjaga kesihatan anak-anak mereka.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa cara yang lebih pragmatik perlu diambil, iaitu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Anak-anak diibaratkan sehelai kain putih dan ibu bapalah yang mencorakannya. Oleh sebab itu, ibu bapa hendaklah mengamalkan prinsip “kepimpinan melalui teladan” dengan tidak membeli makanan segera dan makanan ringan kepada anak-anak. Ibu bapa mestilah makan makanan berkhasiat seperti ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul. Ibu bapa merupakan faktor utama yang dapat menarik anak ke landasan yang betul. Sekiranya seorang bapa sering mengunjungi kedai-kedai makanan segera dan membeli banyak makanan ringan, maka anaknya juga akan menurut kehendak nafsu untuk mengisi perut, Persis kata mutiara, bapa borek anak rintik. Maka, ibu bapa hendaklah menjadi entiti mithali sebelum mendidik anak. Mereka boleh mengambil pendekatan dengan mendidik anak-anak tentang keburukan makanan segera dan makanan ringan seperti mengandungi bahan pengawet, pewarna, perasa, gula, garam dan minyak yang tinggi. Bahan tambahan ini akan mendatangkan penyakit kronik seperti tahap kolesterol yang tinggi, tekanan darah tinggi, obesiti dan penyakit kencing manis sekiranya dimakan secara berpanjangan. Justeru, ibu bapa hendaklah membekalkan makanan yang enak dan berkhasiat kepada anak-anak mereka ke sekolah supaya anak-anak tidak membazirkan wang membeli makanan ringan di sekolah, bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa ibu bapa wajar menjadi entiti mithali dalam mengawal pengambilan makanan segera dan makanan ringan.

Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa prakarsa lain yang agak jelas ialah membawa anak-anak menghadiri ceramah atau kempen tentang amalan pemakanan yang seimbang. Kempen Pemakanan Sihat mampu menyebarkan maklumat dan meningkatkan kesedaran tentang bahaya makanan ringan dan menerapkan gaya pemakanan yang sihat. Ibu bapa boleh membawa anak melibatkan aktiviti bersama seperti menyediakan makanan yang seimbang dan mudah. Contohnya, mereka boleh menyediakan nasi goreng dengan meletakkan pelbagai jenis sayur-sayuran yang berwarna-warni seperti lobak, kacang penjang, brokoli dan tomato supaya kelihatan menarik dan menyelerakan. Sekiranya anak-anak tidak diperkenalkan dengan makanan segera dan makanan ringan, maka anak-anak akan menjadi alah bisa tegal biasa. Mereka akan menikmati keenakan makanan yang sihat dan seimbang tanpa membeli makanan ringan atau makanan segera. Seterusnya, ibu bapa juga hendaklah memasak resipi kesukaan anak-anak supaya anak-anak dapat menerima rasa sayur-sayuran sejak kecil lagi. Hal ini lebih baik dan sihat daripada makan di luar kerana ibu bapa akan memilih sumber makanan yang bebas pengawet dan bahan kimia. Kempen yang dihadiri oleh anak-anak dapat membuka minda kepada kepentingan mengamalkan pemakanan yang seimbang. Bak kata pepatah, jauh perjalanan, luas pandangan. Anak-anak akan menyedarkan diri tentang amalan pemakanan yang seimbang menjamin kesihatan diri mereka sehingga dewasa nanti. Dengan berbuat demikian, ternyatalah bahawa ibu bapa berperanan membawa anak-anak menghadiri kempen atau ceramah berkaitan amalan pemakanan yang sihat supaya mengatasi masalah pengambilan makanan segera dan makanan ringan secara berlebihan.

Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan peranan ibu bapa dengan memberikan nasihat kepada anak-anak. Ibu bapa wajar mendidik anak-anak tentang amalan pemakanan yang sihat. Contohnya mereka haruslah memberitahu anak-anak tentang makanan yang mengandungi karbohidrat, protin, vitamin dan mineral. Mereka hendaklah menasihati anak agar kurang membeli aiskrim, gula-gula, kek dan makanan ringan kerana tidak mempunyai khasiat untuk tumbesaran yang baik. Ibu bapa hendaklah memantau dan mengawasi pengambilan makanan anak-anak dan melarang pemakanan makanan ringan dan makanan segera sejak usia muda lagi kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Ibu bapa haruslah mengambil alternatif lain untuk menjadikan waktu makan waktu yang disukai oleh anak-anak dengan menyediakan buah-buahan sebagai snek. Mereka boleh menghiris lobak atau kacang panjang kepada ketulan yang lebih kecil supaya tidak dirasai oleh anak-anak tetapi memperoleh khasiat daripadanya. Jus buah-buahan juga dapat menjamin anak-anak mendapat khasiat dan rasa manis daripadanya tanpa minum minumam berkarbonat yang mengandungi kandungan gula yang terlampau tinggi. Seterusnya, ibu bapa hendaklah menasihati anak-anak supaya tidak sentiasa membeli makanan di gerai-gerai makanan yang menjual makanan ringan dan kotor. Hal ini demikian supaya mampu menjamin keselamatan dan kesihatan anak-anak. Sekiranya anak-anak tidak mematuhi nasihat, maka hukuman yang sesuai perlulah dikenakan terhadap anak-anak perlu dipraktikkan agar anak-anak dapat mengubah amalan pemakanan yang kurang sihat. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa nasihat daripada ibu bapa tentang cara pemakanan yang sihat amat penting untuk menjamin kesihatan anak-anak.

Suatu hakikat yang wajar diterima ialah ibu bapa boleh bekerjasama dengan pihak sekolah dan menyeru pihak media massa agar mengurangkan iklan-iklan makanan ringan dan makanan segera pada kaca televisyen. Minda anak-anak belasan tahun diibaratkan span yang akan menyerap apa-apa sahaja maklumat tanpa penapisan. Oleh sebab itu, iklan-iklan sedemikian akan mencemarkan fikiran anak-anak. Maka, ibu bapa wajar memohon kepada Jabatan Penyiaran Malaysia supaya memaparkan iklan-iklan makanan segera dan makanan ringin selepas waktu perdana. Iklan-iklan sedemikian wajar dielakkan dipaparkan terutamanya semasa rancangan kartun kanak-kanak. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), anak-anak amat cenderung untuk makan makanan segera keran terpengaruh oleh grafik-grafik yang menarik dan berwarna-warni disiarkan. Selain itu, ibu bapa patut mengesyorkan makanan yang berkhasiat yang boleh disediakan oleh pekerja-pekerja kantin sekolah semasa mesyuarat bersama-sama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Pihak pengurusan kantin tidak patut menjual makanan yang kurang berkhasiat kepada murid-murid sekolah semata-mata untuk mengaut keuntungan tanpa menghiraukan kesihatan mereka. Pihak pengurus kantin perlu memperbanyak penjualan makanan secara pengukusan dan mengurangkan makanan yang digoreng dan berminyak. Kaedah penyediaan makanan sebegini dapat memastikan zat-zat makanan masih dikekalkan di dalam makanan. Dengan kupasan yang menarik, semamangnya diakui bahawa ibu bapa hendaklah mencadangkan makanan yang sihat kepada pihak sekolah dan menyeru pihak media massa mengenai penyiaran iklan-iklan tentang makanan segera serta makanan ringan agar melahirkan anak-anak yang peka terhadap kesihatan diri sendiri.

Sebagai penutup wacana ingin saya tegaskan bahawa memang terdapat banyak usaha yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mengawal pengambilan makanan segera dan makanan ringan dalam kalangan anak-anak. Sekiranya makanan ringan dan makanan segera diambil secara berpanjangan, maka tidak mustahil anak-anak akan dihidapi dengan pelbagai penyakit kronik apabila dewasa nanti. Anak-anak yang masih berumur setahun jagung dan darah setampuk pinang tidak mengenal erti “kesihatan”. Mereka hanya akan mengambil makanan yang mereka berasa sedap dan menggembirakan diri mereka sahaja. Maka, sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, mereka wajar mendorong anak ke landasan yang betul supaya mampu membentuk anak-anak yang sihat. Anak-anak belasan tahun akan menjadi tonggak kepimpinan negara pada masa hadapan. Mereka hendaklah dididik supaya dapat membezakan dosa dan pahala. Sekiranya mereka tidak berdisiplin dan tidak mampu menjaga kesihatan mereka, bagaimanakah mereka hendak menyumbangkan khidmat kepada negara sekiranya tubuh badan mereka kurang sihat? Kesihatan sebenarnya amat berharga bagi seseorang kerana mereka akan dapat melakukan pelbagai perkara. Justeru, cogan kata seperti “Amalkan Gaya Hidup Sihat”, “Sihat Sepanjang Hayat” dan “Utamakan Kesihatan” perlulah dijadikan pedoman dalam kehidupan supaya dapat melahirkan anak-anak yang sihat dan mampu mengawal pengambilan makanan segera serta makanan ringan.

.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s