Langkah-Langkah Mudah Untuk Perangi COVID-19

Langkah-Langkah Mudah Untuk Perangi COVID-19. Penyakit paling kritikal diperkatakan di seluruh negara dan dunia ialah wabak COVID-19 yang mula dikesan di Wuhan, China sekitar pertengahan Disember tahun lalu.

Namun, penyakit ini mula menjadi isu paling serius di negara ini ekoran gelombang keduanya yang turut mencatatkan dua kematian pada hari 17 Mac 2020.

Disebabkan kritikalnya wabak itu, kerajaan mengambil tindakan dengan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula 18 Mac lalu sehingga 31 Mac ini bagi membendungnya daripada terus merebak.

Namun, tanpa memahami tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan, ia ‘disalah guna’ apabila ada menganggap kerajaan memberi ‘cuti’ kepada rakyat.

Apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan, rakyat mula membanjiri Terminal Bas Selatan (TBS) untuk pulang ke kampung tanpa memikirkan kemungkinan besar mereka akan dijangkiti virus COVID-19 kerana bersesak-sesak dan seterusnya menjadi pembawa virus berkenaan dan merebak pula di kampung halaman masing-masing.

Sehinggakan Perdana Menteri terpaksa membuat perutusan khas pada hari berikutnya dan merayu berkali-kali supaya rakyat mengawal serta mengurangkan pergerakan supaya COVID-19 tidak terus merebak kepada orang lain.

Ramai juga artis seperti Siti Nurhaliza membantu kerajaan dalam memberikan khidmat sosial masyarakat dengan merayu supaya rakyat Malaysia terus ‘stay at home’ dan tidak pulang ke kampung.

Tidak kurang dengan itu, doktor dan jururawat tidak henti-henti merayu supaya masyarakat dapat membantu dengan tidak menambah bilangan kes di hospital. Pihak media sama ada melalui radio, televisyen, akhbar dan media sosial sudah memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan dalam menwar-warkan kempen ‘stay at home’ demi untuk mengurangkan penambahan kes positif jangkitan COVID-19.

Namun, dimanakah peranan dan tanggungjawab kita sebagai rakyat bagi membantu dalam membasmi penularan wabak COVID-19 ini?

Kerajaan hanya mengarahkan rakyat untuk kekal berada di rumah masing-masing dan mengurangkan pergerakan selama 14 hari sahaja, selain menjaga kebersihan diri sebagai langkah pencegahan. Perkara begitu mudah mengapa sukar untuk rakyat fahami dan ikuti arahannya? Masih ada segelintir rakyat yang membuka gerai untuk jualan, bersukan dan bersiar-siar. Di manakah peranan kita sebagai rakyat yang prihatin bagi menyokong tindakan kerajaan dalam membasmi virus ini?

Jangan bersikap pentingkan diri kerana kita fikir sihat tetapi tanpa sedar kita pembawa kepada virus itu.

Mahukah kita menjadi rakyat prihatin? Mudah sahaja, ikuti saranan yang berikut.

Pertama: Lakukan Saringan

Sila datang dan membuat saringan kesihatan secara percuma di pusat kesihatan tanpa perlu dicari. Bantulah kerajaan dengan tampil secara sukarela dan menjalani pemeriksaan saringan yang ditetapkan terutama kepada mereka yang pergi ke perhimpunan ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling.

Kedua: Kuarantin diri

Sekiranya anda baru pulang daripada mana-mana negara terutamanya China, Korea Selatan, Itali, Jepun dan Iran, anda dinasihatkan untuk melaporkan kepada pusat kesihatan dan melakukan kuarantin diri selama 14 hari berturut-turut.

Sila rujuk ke klinik atau hospital terdekat sekiranya anda mendapat gejala seperti batuk, demam, selsema, sakit tekak dan kesukaran untuk bernafas.

Ketiga: Memakai topeng muka

Sekiranya anda tidak sihat seperti batuk atau selsema, pakailah topeng muka dan segeralah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital. Jangan menggunakan topeng muka yang sama berulang-ulang kali, sebaiknya keraplah menukar topeng muka dari masa ke semasa.

Keempat: Kekal berada di dalam rumah atau ‘Stay at Home’

Dengan kekal berada di rumah dapat menghindarkan diri kita daripada dijangkiti virus COVID-19. Inilah masa terbaik untuk meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga. Ibu bapa boleh menjadi kreatif dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama anak-anak seperti membersihkan rumah, bertukang, memasak, berkebun dan bersukan yang bersifat dalaman dan tidak perlu keluar.

Kelima: Tingkatkan kebersihan diri dan kawasan rumah

Sentiasa mengutamakan kebersihan diri seperti kerap mandi dan kerap mencuci tangan dengan betul menggunakan sabun atau menggunakan bahan pencuci tangan (hand sanitizer). Selain itu, disinfeksi kawasan rumah juga sangat digalakkan untuk membasmi virus.

Campurkan satu penutup peluntur dan sembilan penutup air sahaja dan mula disinfeksi tempat yang kerap disentuh seperti tombol pintu, suis lampu, telefon, alat kawalan, kepala paip dan pintu peti ais.

Keenam: Jaga jarak 1 meter

Sekiranya memerlukan anda untuk keluar seperti membeli barang atau ke tempat kerja atas urusan yang tidak dapat dielakkan, pastikan anda menjaga jarak satu meter supaya tidak bersentuhan.

Selain itu, kita juga digalakkan untuk menjaga kesihatan dengan baik seperti makan makanan yang berkhasiat dan melakukan senaman ringkas di dalam rumah.

Alternatif lain aktiviti yang boleh dirancang semasa Perintah Kawalan Pergerakan ini adalah seperti mengisi masa dengan aktiviti keagamaan seperti berdoa dan membaca kitab.

Kerajaan sudah memainkan peranan mereka untuk membasmi virus COVID-19 dengan seriusnya, maka marilah kita menyokong usaha kerajaan untuk memulihkan keadaan supaya boleh kembali kepada sedia kala dengan hanya kekal berada di rumah selama 14 hari sahaja.

Diharapkan dalam tempoh ini, negara kita akan pulih dan wabak ini boleh dikawal. Bayangkan kita akan berpuasa tidak lama lagi, bagaimana rutin berpuasa di siang hari dalam keadaan tidak selamat dan bagaimana pula hendak berterawih pada malam hari sedangkan masjid ditutup seperti sekarang.

Bayangkan juga bagaimana kita bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri sekiranya wabak ini masih tidak ditangani dengan baik. Tiada kemeriahan dan kunjung mengunjungi antara satu sama lain dan kita semua kekal berada di dalam rumah semasa Hari Raya.

Pilihan di tangan anda!

Sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2020/03/668184/enam-langkah-mudah-perangi-covid-19

Posted in Bahasa Melayu, Karangan | Leave a comment

Peranan Ibu Bapa Dalam Mengawal Pengambilan Makanan Ringan / Makanan Segera

Peranan Ibu Bapa Dalam Mengawal Pengambilan Makanan Ringan / Makanan Segera

Pada saat kita sibuk merencana kehidupan di dunia yang fana ini, secara sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan sains dan teknologi, masalah obesiti atau kegemukan dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat dan membimbangkan banyak pihak. Restoran makanan segera seperti KFC, McDonald’s, Burger King dan Domino’s juga semakin hari semakin banyak diusahakan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Jika kita bertapak kaki di pusat membeli-belah pula, tidak hairan apabila terdapat pelbagai jenis makanan ringan di dalam pelbagai pek yang berwarna-warni yang bertujuan untuk menarik minat dan perhatian khususnya kanak-kanak. Hal ini bertambah buruk lagi apabila terdapat banyak iklan dan promosi jualan yang disiarkan di kaca televisyen atau dipaparkan di dalam akhbar dengan pelbagai jenis permainan yang akan dihadiahkan bersama-sama dengan pembelian makanan ringan atau makanan segera. Namun, hakikatnya kini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak mengamalkan pemakanan yang sihat sehingga menghantui pemikiran para ibu bapa. Berdasarkan Kajian Keutamaan Nutrisi di Malaysia, terdapat peningkatan sebanyak 13.6% kes obesiti dalam kalangan kanak-kanak dalam beberapa tahun ini. Namun, menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, beliau melahirkan kebimbangannya terhadap peningkatan kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan menyeru ibu bapa agar memberi pemantauan dan penjagaan yang lebih terhadap pemakanan anak-anak. Hal ini demikian kerana ibu bapa merupakan ahli keluarga yang terdekat dan bertanggungjawab mengawal pemakanan anak-anak agar dapat melahirkan anak-anak yang sihat. Sesungguhnya benarlah bicara bijak pandai bahawa setiap penyakit ada penawarnya. Maka, marilah kita lapangkan jiwa dan minda untuk memikirkan langkah yang pragmatik yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dalam mengawal pengambilan makanan segera dan makanan ringan dalam kalangan anak-anak.

Umum mengetahui bahawa kaedah yang bertunjangkan kewarasan minda perlulah diambil, iaitu ibu bapa menyediakan makanan seimbang kepada anak-anak mereka. Makanan yang seimbang amat penting untuk menjamin tumbesaran yang baik kepada anak-anak. Anak-anak sepatutnya mematuhi piramid makanan yang merangkumi karbohidrat, protin, sayur-sayuran, buah-buahan dan lemak dan dijadikan sebagai panduan. Ibu bapa pula perlu mengurangkan pembelian makanan segera dan makanan ringan semasa anak-anak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa tidak sepatutnya berlembut hati dan termakan kerenah kanak-kanak yang ingin makan makanan segera dan makanan ringan. Selain itu, mereka hendaklah meluangkan masa untuk memasak di rumah dan menyediakan makanan yang lebih berkhasiat dan menyelerakan kepada kanak-kanak. Mereka tidak sepatutnya menjadikan kerja yang sibuk dan masa yang suntuk sebagai alasan sehingga terpaksa membawa anak-anak keluar mengisi perut di restoran makanan segera. Hal ini demikian kerana makanan di restoran makanan segera tidak mempunyai khasiat yang tinggi sebaliknya mengandungi kalori tinggi sehingga mampu menjejaskan kesihatan anak-anak yang sedang membesar. Menurut Mirror, sebuah surat khabar dari Britain, terdapat berita yang melaporkan seorang lelaki yang berumur 14 tahun telah buta pada sebelah mata kirinya kerana hanya mengambil makanan seperti roti, ayam dan kerepek kentang sejak umurnya 5 tahun. Hal ini disebabkan remaja tersebut tidak mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan sehingga menyebabkannya kekurangan vitamin A dan menjejaskan penglihatannya. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa ibu bapa hendaklah menyediakan makanan yang enak dan seimbang kepada anak-anak dan mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku terhadap remaja lelaki tersebut agar menjaga kesihatan anak-anak mereka.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa cara yang lebih pragmatik perlu diambil, iaitu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Anak-anak diibaratkan sehelai kain putih dan ibu bapalah yang mencorakannya. Oleh sebab itu, ibu bapa hendaklah mengamalkan prinsip “kepimpinan melalui teladan” dengan tidak membeli makanan segera dan makanan ringan kepada anak-anak. Ibu bapa mestilah makan makanan berkhasiat seperti ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul. Ibu bapa merupakan faktor utama yang dapat menarik anak ke landasan yang betul. Sekiranya seorang bapa sering mengunjungi kedai-kedai makanan segera dan membeli banyak makanan ringan, maka anaknya juga akan menurut kehendak nafsu untuk mengisi perut, Persis kata mutiara, bapa borek anak rintik. Maka, ibu bapa hendaklah menjadi entiti mithali sebelum mendidik anak. Mereka boleh mengambil pendekatan dengan mendidik anak-anak tentang keburukan makanan segera dan makanan ringan seperti mengandungi bahan pengawet, pewarna, perasa, gula, garam dan minyak yang tinggi. Bahan tambahan ini akan mendatangkan penyakit kronik seperti tahap kolesterol yang tinggi, tekanan darah tinggi, obesiti dan penyakit kencing manis sekiranya dimakan secara berpanjangan. Justeru, ibu bapa hendaklah membekalkan makanan yang enak dan berkhasiat kepada anak-anak mereka ke sekolah supaya anak-anak tidak membazirkan wang membeli makanan ringan di sekolah, bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa ibu bapa wajar menjadi entiti mithali dalam mengawal pengambilan makanan segera dan makanan ringan.

Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa prakarsa lain yang agak jelas ialah membawa anak-anak menghadiri ceramah atau kempen tentang amalan pemakanan yang seimbang. Kempen Pemakanan Sihat mampu menyebarkan maklumat dan meningkatkan kesedaran tentang bahaya makanan ringan dan menerapkan gaya pemakanan yang sihat. Ibu bapa boleh membawa anak melibatkan aktiviti bersama seperti menyediakan makanan yang seimbang dan mudah. Contohnya, mereka boleh menyediakan nasi goreng dengan meletakkan pelbagai jenis sayur-sayuran yang berwarna-warni seperti lobak, kacang penjang, brokoli dan tomato supaya kelihatan menarik dan menyelerakan. Sekiranya anak-anak tidak diperkenalkan dengan makanan segera dan makanan ringan, maka anak-anak akan menjadi alah bisa tegal biasa. Mereka akan menikmati keenakan makanan yang sihat dan seimbang tanpa membeli makanan ringan atau makanan segera. Seterusnya, ibu bapa juga hendaklah memasak resipi kesukaan anak-anak supaya anak-anak dapat menerima rasa sayur-sayuran sejak kecil lagi. Hal ini lebih baik dan sihat daripada makan di luar kerana ibu bapa akan memilih sumber makanan yang bebas pengawet dan bahan kimia. Kempen yang dihadiri oleh anak-anak dapat membuka minda kepada kepentingan mengamalkan pemakanan yang seimbang. Bak kata pepatah, jauh perjalanan, luas pandangan. Anak-anak akan menyedarkan diri tentang amalan pemakanan yang seimbang menjamin kesihatan diri mereka sehingga dewasa nanti. Dengan berbuat demikian, ternyatalah bahawa ibu bapa berperanan membawa anak-anak menghadiri kempen atau ceramah berkaitan amalan pemakanan yang sihat supaya mengatasi masalah pengambilan makanan segera dan makanan ringan secara berlebihan.

Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan peranan ibu bapa dengan memberikan nasihat kepada anak-anak. Ibu bapa wajar mendidik anak-anak tentang amalan pemakanan yang sihat. Contohnya mereka haruslah memberitahu anak-anak tentang makanan yang mengandungi karbohidrat, protin, vitamin dan mineral. Mereka hendaklah menasihati anak agar kurang membeli aiskrim, gula-gula, kek dan makanan ringan kerana tidak mempunyai khasiat untuk tumbesaran yang baik. Ibu bapa hendaklah memantau dan mengawasi pengambilan makanan anak-anak dan melarang pemakanan makanan ringan dan makanan segera sejak usia muda lagi kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Ibu bapa haruslah mengambil alternatif lain untuk menjadikan waktu makan waktu yang disukai oleh anak-anak dengan menyediakan buah-buahan sebagai snek. Mereka boleh menghiris lobak atau kacang panjang kepada ketulan yang lebih kecil supaya tidak dirasai oleh anak-anak tetapi memperoleh khasiat daripadanya. Jus buah-buahan juga dapat menjamin anak-anak mendapat khasiat dan rasa manis daripadanya tanpa minum minumam berkarbonat yang mengandungi kandungan gula yang terlampau tinggi. Seterusnya, ibu bapa hendaklah menasihati anak-anak supaya tidak sentiasa membeli makanan di gerai-gerai makanan yang menjual makanan ringan dan kotor. Hal ini demikian supaya mampu menjamin keselamatan dan kesihatan anak-anak. Sekiranya anak-anak tidak mematuhi nasihat, maka hukuman yang sesuai perlulah dikenakan terhadap anak-anak perlu dipraktikkan agar anak-anak dapat mengubah amalan pemakanan yang kurang sihat. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa nasihat daripada ibu bapa tentang cara pemakanan yang sihat amat penting untuk menjamin kesihatan anak-anak.

Suatu hakikat yang wajar diterima ialah ibu bapa boleh bekerjasama dengan pihak sekolah dan menyeru pihak media massa agar mengurangkan iklan-iklan makanan ringan dan makanan segera pada kaca televisyen. Minda anak-anak belasan tahun diibaratkan span yang akan menyerap apa-apa sahaja maklumat tanpa penapisan. Oleh sebab itu, iklan-iklan sedemikian akan mencemarkan fikiran anak-anak. Maka, ibu bapa wajar memohon kepada Jabatan Penyiaran Malaysia supaya memaparkan iklan-iklan makanan segera dan makanan ringin selepas waktu perdana. Iklan-iklan sedemikian wajar dielakkan dipaparkan terutamanya semasa rancangan kartun kanak-kanak. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), anak-anak amat cenderung untuk makan makanan segera keran terpengaruh oleh grafik-grafik yang menarik dan berwarna-warni disiarkan. Selain itu, ibu bapa patut mengesyorkan makanan yang berkhasiat yang boleh disediakan oleh pekerja-pekerja kantin sekolah semasa mesyuarat bersama-sama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Pihak pengurusan kantin tidak patut menjual makanan yang kurang berkhasiat kepada murid-murid sekolah semata-mata untuk mengaut keuntungan tanpa menghiraukan kesihatan mereka. Pihak pengurus kantin perlu memperbanyak penjualan makanan secara pengukusan dan mengurangkan makanan yang digoreng dan berminyak. Kaedah penyediaan makanan sebegini dapat memastikan zat-zat makanan masih dikekalkan di dalam makanan. Dengan kupasan yang menarik, semamangnya diakui bahawa ibu bapa hendaklah mencadangkan makanan yang sihat kepada pihak sekolah dan menyeru pihak media massa mengenai penyiaran iklan-iklan tentang makanan segera serta makanan ringan agar melahirkan anak-anak yang peka terhadap kesihatan diri sendiri.

Sebagai penutup wacana ingin saya tegaskan bahawa memang terdapat banyak usaha yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mengawal pengambilan makanan segera dan makanan ringan dalam kalangan anak-anak. Sekiranya makanan ringan dan makanan segera diambil secara berpanjangan, maka tidak mustahil anak-anak akan dihidapi dengan pelbagai penyakit kronik apabila dewasa nanti. Anak-anak yang masih berumur setahun jagung dan darah setampuk pinang tidak mengenal erti “kesihatan”. Mereka hanya akan mengambil makanan yang mereka berasa sedap dan menggembirakan diri mereka sahaja. Maka, sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, mereka wajar mendorong anak ke landasan yang betul supaya mampu membentuk anak-anak yang sihat. Anak-anak belasan tahun akan menjadi tonggak kepimpinan negara pada masa hadapan. Mereka hendaklah dididik supaya dapat membezakan dosa dan pahala. Sekiranya mereka tidak berdisiplin dan tidak mampu menjaga kesihatan mereka, bagaimanakah mereka hendak menyumbangkan khidmat kepada negara sekiranya tubuh badan mereka kurang sihat? Kesihatan sebenarnya amat berharga bagi seseorang kerana mereka akan dapat melakukan pelbagai perkara. Justeru, cogan kata seperti “Amalkan Gaya Hidup Sihat”, “Sihat Sepanjang Hayat” dan “Utamakan Kesihatan” perlulah dijadikan pedoman dalam kehidupan supaya dapat melahirkan anak-anak yang sihat dan mampu mengawal pengambilan makanan segera serta makanan ringan.

.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Cara-Cara Menjauhi Penyakit Berjangkit

Karangan Bahan Rangsangan: Cara-Cara Menjauhi Penyakit Berjangkit

Dalam era globalisasi ini, penyakit berjangkit semakin meningkat di seluruh dunia. Penyakit berjangkit telah menjejaskan kesihatan manusia dan menjadi masalah kepada kita. Manusia tidak peka terhadap isu-isu yang serius ini menyebabkan penyakit berjangkit merebak dengan cepatnya. Kita mestilah mengambil berat terhadap masalah ini kerana mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya. Persoalannya, apakah cara-cara menjauhi penyakit berjangkit? Perkara ini akan saya huraikan hingga akar umbi.

            Memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat mestilah memakai penutup mulut dan hidung. Hal ini dikatakan demikian kerana  bakteria akan terperangkap dalam penutup itu. Penyakit berjangkit tidak mudah menular antara satu sama lain. Setiap masyarakat patut menggunakan penutup mulut dan hidung semasa berada di tempat yang terbuka. Penutup ini boleh mengelakkan bakteria ini menular kepada orang lain juga boleh menjaga diri daripada bakteria. Hal ini merupakan sesuatu perlindungan kepada kita untuk menjaga kesihatan diri. Tegasnya, memakai penutup mulut dan hidung dapat mengatasi masalah penyakit berjangkit untuk merebak.

            Selain itu, masyarakat boleh menggunakan pensanitasi tangan semasa berada di luar rumah. Pensanitasi tangan ini dapat membunuh bakteria yang berada pada tangan kita. Kita haruslah sentiasa memastikan tangan kita adalah bersih supaya bakteria ini tidak akan menyerang badan kita. Pihak berkuasa haruslah menyediakan pensanitasi tangan sebagai kemudahan awam kepada setiap masyarakat. Oleh itu, kita boleh menjaga kesihatan diri pada bila-bila masa sebelum nasi menjadi bubur. Kita haruslah mengelakkan tangan kita daripada menyentuh pancaindera supaya bakteria tidak akan memasuki ke dalam badan kita. Pendek kata, pensanitasi tangan amat penting kepada kita untuk memastikan tangan kita sentiasa bersih dan menjauhkan diri daripada penyakit berjangkit.

            Di samping itu, manusia haruslah mematuhi penjarakan sosial antara satu sama lain. Kita mestilah sentiasa menjarakkan diri semasa berada di luar rumah. Kita mestilah menghentikan semua aktiviti luar untuk memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan. Contohnya, pihak kerajaan telah menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia sepanjang dua bulan. Penyakit berjangkit dapat dikawal dengan cepat jika setiap masyarakat mematuhi arahan yang telah diberi oleh pihak berkuasa. Setiap masyarakat mestilah bersatu padu untuk mengawal penularan wabak ini kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Jelaslah bahawa, kita bertanggungjawab mematuhi penjarakan sosial ini untuk menjauhi penyakit berjangkit.

            Kesimpulannya, terdapat banyak cara-cara yang boleh kita lakukan untuk menjauhkan diri daripada penyakit berjangkit. Pihak kerajaan haruslah bijak memberikan arahan yang betul kepada masyarakat untuk mengawal penularan wabak di negara kita. Setiap masyarakat mestilah berganding bahu bagai aur dengan tebing dan mematuhi segala arahan yang telah diberikan oleh pihak kerajaan supaya kes penyakit berjangkit dapat dikurangkan. Saya berharap agar penyakit berjangkit dapat dikawal dengan cepatnya supaya setiap masyarakat akan hidup dengan gembiranya. Marilah kita sama-sama mencegah penyakit berjangkit daripada mendadak.

Posted in Karangan | Leave a comment

Latar Masyarakat

Soalan Peperiksaan :

Jawapan anda hendaklah berdasarkan novel yang anda kaji di Tingkatan 2.

JEJAK MONPUS

Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan tiga latar masyarakat yang terdapat dalam novel tersebut.

Skema Jawapan :

NOVEL TINGKATAN 2

JEJAK MONPUS

Latar Masyarakat + Contoh Peristiwa

Masyarakat yang mementingkan ilmu pengetahuan

– Zahar sering menjalankan eksperimen untuk kepentingan masyarakat umum. Akhirnya dia berjaya mencipta formula MONPUS iaitu racun serangga yang dapat menghapuskan ulat bulu

Masyarakat yang suka berdendam

– Ripin berdendam dengan Zahar dan sentiasa mencari jalan untuk berbuat provokasi dan khianat terhadap Zahar

Masyarakat yang berpendidikan tinggi

– Zahar, Mawar, Fikri, Malcom belajar dalam bidang Sains Hayat di Universiti Teknologi Malaysia

* terima jawapan-jawapan lain yang relevan

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Nilai dan Pengajaran (Sajak Tingkatan 1)

Sajak Kita Umpama Sehelai Daun  : Nilai dan Pengajaran (Sajak Tingkatan 1)

Nilai

Simpati.

Baik hati.

Keinsafan.

Berbudi pekerti.

.

Pengajaran

Kita harus bersimpati terhadap insan lain.

Kita harus berbuat baik terhadap insan lain.

Janganlah kita angkuh dan sombong dengan kelebihan diri.

Kita hendaklah menabur budi kepada insan lain.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Bentuk dan Ciri-ciri Sajak (Sajak Tingkatan 1)

Sajak Kita Umpama Sehelai Daun  : Bentuk dan Ciri-ciri Sajak (Sajak Tingkatan 1)

Bentuk dan Ciri-ciri Sajak

Sajak berbentuk bebas.

Terdiri daripada empat rangkap.

Rangkap pertama dan rangkap ketiga mempunyai lima baris; rangkap kedua mempunyai empat baris; rangkap keempat mempunyai tiga baris.

Bilangan katanya tiga hingga lima patah kata sebaris.

Terdiri daripada lapan hingga dua belas suku kata sebaris.

Rima akhir rangkap pertama: ababc; rangkap kedua: abcd;

rangkap ketiga: abcbd; rangkap keempat: abb.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Plot – Binaan Plot (Novel Tingkatan 3)

Novel Justeru Impian di Jaring  :  Plot – Binaan Plot (Novel Tingkatan 3)

Plot – Binaan Plot

Permulaan – Syahir merupakan salah seorang pemain badminton skuad kebangsaan. Dia ditemu ramah oleh rakan baiknya, iaitu Azmie. Perbualan antara mereka berdua agak lama hingga menyebabkan dia lewat masuk ke dalam dewan untuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh ketua jurulatih, iaitu Engku Aiman. Syahir diberitahu bahawa mereka terpaksa menyertai Kejohanan Terbuka Johor. Peraturan dan kehendak Persatuan Bulu Tangkis Se-Malaysia (PBSM) mewajibkan mereka menyertai kejohanan tersebut terlebih dahulu untuk menentukan sama ada mereka layak mewakili negara ke Jakarta atau tidak.

Perkembangan – Syahir sebagai seorang pemain badminton menjalani kehidupan yang penuh liku dan cabaran sebelum layak ke Jakarta. Berita kurang menyenangkan daripada pihak PBSM telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pemain, terutamanya Syahir. Hal ini demikian kerana, mereka terpaksa bersaing sesama sendiri. Dalam peraturan baru itu, Engku Aiman mengatakan bahawa rankingdunia tidak akan menjamin prestasi semasa.

Perumitan/Konflik – Haji Marzuki dan Mas Suparman terpaksa akur dengan keputusan PBSM dan terus melatih pemain skuad kebangsaan, terutamanya Syahir dan Bernard yang dikatakan memiliki potensi dalam permainan. Syahir sering menjadi bahan sindiran dan ejekan oleh Syed Amiri dan Engku Aiman tidak menyukainya. Pada suatu hari, Syahir pergi ke pejabat rakan baiknya, Azmie di Taman Shamelin Perkasa. Di sana, dia didatangi oleh empat orang gadis dan Ratna, iaitu juara program Akademi Impiana untuk bergambar bersama-sama. Pada mulanya dia menolak, tetapi Syahir terpaksa akur apabila diberi alasan untuk bergambar beramai-ramai. Kesan daripada peristiwa itu, Syahir digosipkan bercinta dengan Ratna apabila gambar mereka berdua tersiar dalam akhbar. Perjalanan Syahir untuk mewakili negara ke Jakarta semakin rumit apabila dia berhadapan dengan masalah emaknya yang sakit sebelum dia ke Johor. Semasa Kejohanan Terbuka Johor, Syahir telah ditewaskan oleh Syed Amiri menyebabkan harapannya untuk menyertai Kejohanan Dunia di Jakarta tidak kesampaian.

Klimaks – Syahir dikehendaki menggantikan Gopinath ke Jakarta kerana rakannya itu terlibat dalam kemalangan jalan raya. Walaupun dia terpaksa menghadapi rintangan apabila diberitahu bahawa emaknya menghidap strok, Syahir tabah melangkahkan kaki ke Jakarta bagi memikul harapan jurulatih dan negara. Syahir yang berjaya ke peringkat akhir akan bertemu dengan Andri Mirnawan, iaitu wakil tuan rumah. Akhirnya, Syahir berjaya menundukkan wakil Indonesia itu walaupun menghadapi kesukaran seperti keputusan pengadil yang berat sebelah, sokongan padu daripada para penyokong Andri, dan kesakitan pada bahagian perut yang dialaminya.

Peleraian – Syahir hampir rebah semasa majlis penyampaian hadiah dan segera dikejarkan ke hospital. Syahir telah disahkan menghidap Apendisitis atau radang apendiks dan telah dibedah di Jakarta sebelum dibawa pulang ke Malaysia. Syahir amat bersyukur dan menganggap bahawa kemenangan itu adalah untuk bangsa, agama, dan negara. Sebaik-baik tiba di Malaysia, Syahir melawat emaknya di hospital dan menyerahkan pingat yang dimenanginya kepada emaknya. Azam Syahir yang seterusnya ialah mewakili negara ke Sukan Olimpik pula.

.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Watak dan Perwatakan  (Novel Tingkatan 3)

Novel Justeru Impian di Jaring  :  Watak dan Perwatakan  (Novel Tingkatan 3)

Watak dan Perwatakan 

Syahir

  • Pemain badminton skuad kebangsaan.
  • Anak bongsu daripada lima orang adik beradik.
  • Mahasiswa di Jabatan Pengajian Sukan, UPM Serdang.
  • Seorang yang tabah menghadapi dugaan hidup.
  • Seorang yang tetap pendirian.
  • Penyayang.
  • Penyabar.
  • Taat akan pesanan.
  • Menurut tunjuk ajar dan nasihat.

Kak Uda Syahrizah/Kak Uda

  • Kak Uda Syahrizah ialah kakak kepada Syahir.
  • Dia merupakan pegawai perubatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Seorang yang penyayang.
  • Seorang yang memahami.
  • Seorang yang suka mengusik.

Haji Marzuki

  • Jurulatih perseorangan badminton skuad kebangsaan.
  • Berpandangan positif.
  • Pandai menyelami perasaan orang lain.
  • Berani mengambil keputusan.
  • Bertanggungjawab.

Syed Amiri

  • Pemain badminton skuad kebangsaan.
  • Seorang yang suka menyindir.
  • Seorang yang memandang rendah kebolehan orang lain.

.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Tema dan Persoalan (Novel Tingkatan 3)

Novel Justeru Impian di Jaring  :  Tema dan Persoalan (Novel Tingkatan 3)

Tema

  • Ketabahan seorang pemain badminton dalam menghadapi segala dugaan dan rintangan sebelum bergelar juara dunia.

Persoalan

  • Ketaatan terhadap pesanan yang telah diamanahkan.
  • Keberanian untuk menyatakan pendapat.
  • Sikap pilih kasih dalam sesuatu tindakan.
  • Perasaan simpati terhadap nasib orang lain.
  • Sikap memandang rendah terhadap keupayaan orang lain.
  • Kasih sayang seorang anak terhadap ibu.
  • Kesabaran dalam mengharungi cabaran ketika menjalankan tugas.

.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Latar Masyarakat (Komsas Tingkatan 5)

Drama Bukan Gila : Latar Masyarakat (Komsas Tingkatan 5)

LATAR MASYARAKAT

Masyarakat yang prihatin

Azmir mempertikaikan sikap Pak haji yang sepatutnya prihatin terhadap penderitaan yang dilaluinya dan orang yang senasib dengannya

Masyarakat yang setia

Azmir amat setia mencintai Ani tetapi Ani telah meninggalkannya sewaktu Azmir berhadapan dengan sakit barah otak

Masyarakat yang menghargai jasa

Azmir mengucapkan terima kasih kepada petani, nelayan dan buruh perkasa yang telah membangunkan rakyatdan  negara.

Masyarakat yang tabah

Azmir yang menghidap penyakit barah otak melawan penyakitnya itu bersendirian tanpa ibu dan ayahnya mengetahui tentang penyakitnya

Masyarakat yang menghargai jasa

Azmir berterima kasih kepada ayah dan ibunya yang telah melahirkan dan membesarkannya.

.

Posted in Bahasa Melayu | Leave a comment